2 Kursus Haji

Bakal-bakal jemaah digalakkan membaca buku-buku berkenaan Haji disamping menghadiri kursus-kursus Haji seperti berikut :

(1) Kursus oleh Ketua Pembimbing & Rombongan.

Ini kebiasaannya dilakukan di masjid yang dipilih oleh bakal Ketua Rombongan anda. Sila dapatkan maklumat berkenaan dengan tarikh bermula kursus, masa, hari dan tempat samada dari beliau sendiri atau dari masyarakat sekeliling yang pernah menghadiri kursus beliau. Kebiasaannya Kursus Haji seperti ini bermula bulan Februari atau Mac, sebaik selepas Ketua Pembimbing pulang dari mengetuai rombongan Haji di Tanah Suci.

Contoh:

Kursus Haji Bersiri Ustaz Halim (Seremban) Mingguan bagi tahun 2008 diadakan setiap hari Sabtu, 2.00 – 4.00 pm di Masjid Jamek Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan bermula pada 3/5/2008. Kursus adalah percuma, walaubagaimanapun peserta digalakkan membuat kutipan sesama mereka untuk minum petang.

(2) Kursus Bersiri Tabung Haji Malaysia

Kursus ini bermula sekitar bulan April setiap tahun. Ia dijalankan secara mingguan dan bersiri selama 15 minggu. Bakal-bakal Jemaah Haji akan dimaklumkan oleh Tabung Haji mengenainya melalui surat.

(3) Kursus Intensif Tabung Haji

Kursus ini memakan masa selama 2 hari berturut-turut selepas tamatnya Kursus Bersiri. Ini lebih berbentuk kursus ulangkaji intensif disamping tempat untuk menyampaikan maklumat terkini berkenaan dengan urusan Haji pada tahun tersebut.

(4) Kursus Haji Perdana

Kursus ini adalah sebagai kursus penamat bagi bakal-bakal Jemaah Haji sebelum berlepas ke Tanah Suci. Latihan amali seperti Tawaf dan Saie dilakukan di padang dengan menggunakan model-model yang dibuat khas.

Tuan puan baka-bakal Jemaah Haji adalah digalakkan untuk mnghadiri kesemua kursus-kursus di atas demi kefahaman dan perlaksanaan ibadah Haji kita yang sempurna di Tanah Suci nanti.